Your search results

LAND SEARCH

Posted by Saudagar Hartanah on 30/12/2020
| 0

Penjual: Nah dokumen. Tolong siapkan Perjanjian Jual Beli cepat ye. Esok saya nak sign.

Peguam: Eh, tak boleh sign esok puan. Saya perlu buat “land search” dulu.

Penjual: Ish, lambat la. Ni salinan geran saya dah bagi. Dah terang-terang ada nama saya. Takpe lah, kalau tak boleh buat saya cari lawyer lain.

Peguam: Dengan segala hormatnya dipersilakan. Semoga berjaya!

Tuan-tuan dan puan-puan,

Apa itu “land search”? Land search atau carian persendirian adalah carian yang dibuat di pejabat tanah bagi mengetahui status terkini hakmilik/geran Hartanah. Antara maklumat yang boleh didapati daripada carian persendirian adalah:

  1. Pemilik Hartanah
  2. Status Pemilikan (Contoh: Pentadbir/ Pemegang Amanah)
  3. Bahagian Pemilikan
  4. Pemegang Gadaian
  5. Kaveat
  6. Nombor geran
  7. Pajakan / Pegangan Kekal
  8. Tarikh akhir pajakan
  9. Rizab Melayu / Tidak
  10. Jumlah cukai tanah tahunan
  11. Sekatan Kepentingan
  12. Syarat Nyata Hartanah
  13. Jenis tanah
  14. Keluasan Hartanah
  15. Sebarang Perintah Mahkamah
    Dan lain-lain

Bagi membolehkan peguam menyediakan Perjanjian Jual Beli adalah AMAT PENTING dan WAJIB untuk peguam membuat “land search” terlebih dahulu. Sekiranya ada peguam yang boleh membuat Perjanjian Jual Beli TANPA merujuk kepada “land search” terkini maka anda perlu berhati-berhati kerana tindakan tersebut akan mendatangkan risiko kepada Penjual atau Pembeli.

Sekiranya maklumat didalam Perjanjian Jual Beli bercanggah dengan maklumat yang dinyatakan didalam “land search”, sudah pastinya banyak kesusahan akan berlaku, antaranya adalah:

A) Bank tidak dapat mengeluarkan pinjaman
B) Perjanjian Jual Beli perlu dipinda atau dibatalkan
C) Penjual bukan pemilik Hartanah yang hendak dibeli
D) Hartanah sebenarnya tidak boleh dijual kerana Pemilik adalah Pemegang Amanah
E) Terma-terma dan syarat-syarat yang betul tidak dimasukkan dalam Perjanjian Jual Beli
F) Ada kaveat yang didaftarkan dalam geran yang menyebabkan Hartanah tidak boleh dipindahmilik kepada Pembeli

Dan banyak lagi risiko lain yang boleh dihadapi oleh Penjual dan Pembeli sekiranya peguam tidak membuat “land search” sebelum menyediakan Perjanjian Jual Beli.

Perkara ini nampak remeh, “ala..land search je pun”… tapi sekiranya ada apa-apa masalah, kesannya amat dasyat. Sudah pasti pihak yang layak untuk dipersalahkan adalah peguam. Jadi berilah peluang dan ruang kepada peguam anda untuk menjalankan tanggungjawab mereka supaya kepentingan kesemua pihak terpelihara.

Akhir kata, jangan sampai anda ingat anda telah beli tanah banglo, tapi sudahnya terbeli tanah kubur. Nauzubillah min zalik

Leave a Reply

Your email address will not be published.