Tips yang perlu DIFAHAMI sebelum deal dengan Ejen Hartanah.

Ramai orang beranggapan bahawa ejen hartanah hanya nak komisyen daripada pemilik rumah, jadi mereka kenalah tolong buat semua benda dari A sampai Z. Untuk pengetahuan umum, kita kena melalui ejen hartanah terutama sekali untuk pembelian rumah sub-sale atau second hand.

Mereka inilah yang telah dilantik secara rasmi oleh tuan rumah bagi memudahkan urusan pembelian rumah tersebut. Oleh itu, sebelum anda nak berurusan dengan ejen hartanah, anda perlu faham beberapa perkara ini terlebih dahulu.

i. Ejen Hartanah Bukan Pihak Yang Luluskan Pembiayaan

Masih ramai yang beranggapan bahawa ejen hartanah adalah pihak yang dapat meluluskan pinjaman perumahan. Sebenarnya, kelulusan pinjaman perumahan anda terletak di tangan pihak bank. Ejen hartanah hanya pemudahcara yang boleh memberi nasihat tentang dokumen-dokumen sokongan yang perlu. Anda juga boleh meminta pendapat mereka dalam memastikan anda betul-betul layak untuk membuat permohonan bagi membeli rumah tersebut.

ii. Ejen Hartanah Mempunyai Banyak Masa

Ramai menganggap bahawa ejen hartanah ini mempunyai banyak masa disebabkan pekerjaan ini tidak terikat sama sekali dengan waktu pejabat. Walaubagaimanapun, masa mereka juga amat bernilai. Mana tidaknya, mereka sanggup bergadai masa lapang dengan keluarga pada hujung minggu semata-mata nak bawa anda tengok rumah. Gunakan kemudahan teknologi yang ada untuk berhubung. Jika anda tidak dapat menghadirkan diri untuk bertemu dengan ejen hartanah bagi melihat rumah, sebaiknya anda hendaklah memaklumkan kepada mereka lebih awal dengan cara menelefon atau WhatsApp. Cara ini akan memudahkan ejen hartanah untuk meneruskan aktiviti rancangannya pada hari tersebut.

iii. Ejen Hartanah Tidak Membuat Keputusan Untuk Anda

Sebelum anda membuat deal dan berjumpa dengan ejen hartanah, pastikan anda mempunyai bajet dan juga ciri-ciri rumah yang anda inginkan. Anda boleh berkongsi dengan ejen hartanah tentang bajet yang anda ada dan mampu agar mereka dapat memberi nasihat tentang rumah yang sesuai untuk dibeli dan dimiliki oleh anda. Elakkan daripada sikap tidak jujur tentang kelayakan gaji, kerana ia hanya akan membuang masa dan tenaga anda serta ejen. Orang kata ukur bajet mengikut kemampuan diri kita sendiri.

iv. Ejen Hartanah Tidak Boleh Mempercepatkan Proses Tukar Nama

Jika syarat-syarat yang ditetapkan telah dipersetujui oleh anda, dan anda juga telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P), anda perlu tahu bahawa urusan seterusnya akan dikendalikan oleh pihak guaman yang telah dilantik. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan masih ada ejen hartanah yang sanggup membantu “follow-up” segala urusan berkenaan rumah sehingga proses itu selesai. Perlu diingatkan, perkara seperti proses pertukaran menjadi lambat mungkin akan terjadi dan sekiranya berlaku kejadian seperti ini, anda perlu bersabar dan tidak mendesak serta memarahi ejen kerana ini adalah luar daripada bidang kerja ejen hartanah itu sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *