Your search results

Panduan Lengkap Jual Rumah Terkini

Posted by Saudagar Hartanah on 24/01/2020
| 0

Bagi kebanyakan orang yang memiliki rumah, prosedur jual rumah adalah suatu yang merumitkan dan sukar dilakukan.

Sebenarnya proses jual rumah dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya kena dengan cara-caranya.

Di dalam artikel ini, kami dedahkan cara-cara untuk menjual rumah. Selain itu, anda juga bakal mengetahui beberapa kaedah menggunakan ejen atau sendiri untuk menjual rumah.

Teruskan membaca sehingga tamat.

Proses Untuk Menjual Rumah Tanpa Ejen

jual rumah

Proses Pertama: Menetapkan Harga Rumah Yang Ingin Dijual

Adalah penting untuk anda mengetahui nilai rumah anda sekarang kerana ia amat berbeza jika dibandingkan dengan 5, 10 tahun yang lepas.

Ambil kira faktor lokasi dan pembangunan yang ada di kawasan perumahan anda.

Kaedah yang boleh digunakan untuk menyemak nilai semasa rumah adalah:

a.Tanya pegawai bank

b.Semak dengan ejen hartanah

c.Lantik penilai profesional

Ramai memilih kaedah melantik penilai profesional kerana nilainya lebih tepat yang dilampirkan dalam satu laporan.

Semakan rumah memerlukan butiran seperti jenis rumah, alamat rumah, saiz lot dan binaan, kedudukan lot, bilangan bilik dan butiran ubahsuai.

cara jual rumah sendiri

Proses Kedua: Kaji Permintaan Tentang Rumah Yang Ingin Dijual

Ini juga antara langkah penting supaya anda tidak meletakkan harga yang terlalu tinggi sehingga menyukarkan proses penjualan.

Misalnya, harga rumah anda selepas dinilai oleh jurunilai profesional adalah RM300,000.

Namun ada rumah berdekatan anda yang turut dijual berharga RM250,000. Sudah tentu rumah anda sukar untuk dijual.

Apa kata, anda letak harga permulaan rumah anda pada RM280,000 supaya tidak terlalu jauh perbezaanya dengan pesaing.

Dalam meletak harga rumah, ambil kira beberapa faktor di bawah yang mungkin menyebabkan sukar mendapatkan pembeli.

Antaranya:

a.Rumah berdekatan dengan loji kumbahan

b.Rumah telah rosak

c.Rumah pangsapuri/apartment di unit paling atas

d.Rumah berdekatan dengan pencawang elektrik.

cara jual rumah

Proses Ketiga: Kira Kos Jual Rumah

Perlu diingat proses jual rumah ini tidak memerlukan pemiliknya mengeluarkan duit.

Ada beberapa kos yang perlu ditanggung sebelum rumah dijual kepada pemilik baru.

a.Kos Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)

Dirujuk sebagai cukai atas keuntungan jualan hartanah yang mana kadarnya berdasarkan kepada tempoh belian hartanah berkenaan.

Kadar pada tahun 2019 ditetapkan seperti berikut:

Jualan pada tiga tahun pertama: 30%

Jualan pada tahun keempat: 20%

Jualan pada tahun kelima: 15%

Jualan pada tahun keenam, dan seterusnya: 5%

b. Kos Guaman

Ada orang tak mahu melantik peguam disebabkan ada tambahan kos lagi. Tetapi melalui peguam sebarang kepentingan anda akan dijaga.

Ada juga yang ‘tumpang’ peguam dari pihak pembeli untuk selesaikan urusan seperti mengeluarkan caj ke atas hak milik dari bank dan pemfailan cukai.

Perlu diingatkan bahawa peguam pembeli tidak mewakili anda dan tidak bertanggungjawab menjaga kepentingan anda.

c.Penalti ‘Lock-in Period’ Pihak Bank

Kos ini dikenakan kepada pemilik yang ingin menjual hartanahnya dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun pembelian. Kadar polisi berbeza mengikut institusi kewangan.

Proses Keempat: Menyediakan Dokumen Yang Diperlukan

dokumen jual rumah

a. Kad Pengenalan

b. Salinan Perjanjian Jual Beli Semasa Belian

c. Salinan Geran

d. Penyata Pinjaman Terkini

e. Bil Cukai Pintu dan Cukai Tanah

f. Bil Penyelenggaraan

g. Bil Utiliti

Proses Kelima: Cantikkan Rumah

Kalau rumah dibiarkan dengan lalang dan rumput memanjang, halaman rumah bersepah, cat tertanggal dan sebagainya, tiada siapa yang berminat untuk beli rumah tersebut.

Nak memudahkan anda mencari pemilik baru, maka anda sendiri kena ada inisiatif untuk kemaskan rumah dan persekitarannya supaya dapat menarik minat orang.

Selain mengemas rumah dan persekitarannya, anda juga boleh mengecat rumah agar rumah anda nampak baru.

Seeloknya cat putih sahaja, kerana kita tidak tahu bagaimana ‘taste’ pembeli kita nanti.

Proses Keenam: Iklankan Rumah Yang Nak Dijual

Selepas segala baikpulih dijalankan terhadap kerosakan yang ada di rumah, kini anda perlu mengambil gambar rumah di dalam dan di luar rumah untuk memudahkan bakal pembeli mengetahui keadaan rumah.

Jika anda buat renovation atau tambahan dimana-mana ruang, letak juga gambar sebelum dan selepas kerja-kerja berkenaan.

Hari ini ramai memilih mengiklankan rumah di laman sesawang berkaitan hartanah seperti Mudah.my dan Propwall, termasuklah Facebook dan Instagram.

Ada juga memilih cara konvensional seperti memasang bunting atau banner di rumah yang ingin dijual.

Proses Ketujuh: Saring Orang Yang Berminat Nak Beli

Kebiasaannya selepas proses mengiklan, pasti akan ada beberapa orang yang menghubungi si pemilik untuk bertanya tentang rumah dan ingin melihat keadaan rumah.

Layan bakal pembeli dengan sebaiknya dan terangkan tentang rumah anda, termasuk kelebihan dan kemudahan yang ada di persekitaran.

Pada masa inilah bakal pembeli akan mula bertanyakan tentang harga jualan dan cuba membuat rundingan harga yang sedikit rendah lagi.

Anda akan berdepan dengan respon seperti:

“Bagi saya masa untuk bincang dengan suami/isteri dulu”.

Tak apa. Ini antara situasi yang anda kena hadapi untuk menjual rumah tanpa khidmat ejen.

Anda boleh buat follow-up beberapa hari selepas proses viewing itu.

Setelah anda mendapat bakal pembeli, jangan lupa untuk semak tahap kewangan bakal pembeli.

Ini supaya mereka mampu membayar harga rumah yang dipersetujui sekaligus mengelakkan masalah di masa akan datang.

Proses Kelapan: Lantik Peguam Hartanah

Setelah bakal pembeli telah membuat pinjaman di institusi kewangan, lantikan peguam perlu juga dilakukan untuk menguruskan hal Loan Agreement and Sales And Purchases Agreement (SPA).

Perlu ingat bahawa peguam hartanah ada kepakaran masing-masing. Jadi, haruslah bijak memilih peguam yang berpengalaman untuk mengendalikan proses pindahmilik rumah yang seumpama rumah kita.

Pemilik dan pembeli akan dipanggil oleh peguam untuk menandatangani perjanjian yang disediakan oleh agensi guaman.

Peguam yang bagus akan terangkan berkenaan dengan perjanjian jual beli tersebut (SPA), status geran dan juga proses seterusnya.

Setelah selesai proses pindahmilik, barulah proses serahan kunci rumah perlu dibuat oleh peguam kepada pembeli.

Cara Jual Rumah Melalui Ejen

Ada juga pemilik hartanah mahu menggunakan ejen kerana tidak arif tentang prosedur yang perlu dilalui.

Tak kurang juga ada yang takut mendengar perkataan ejen kerana ada yang dikaitkan dengan kes-kes penipuan.

Sekiranya anda bercadang menggunakan ejen, sila check ejen berdaftar menerusi Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurusan Harta Malaysia (LPPEH).

Antara kelebihan menggunakan khidmat ejen jual rumah adalah seperti berikut:

a. Melindungi kepentingan penjual

Ejen akan memastikan rumah anda terjual dengan melakukan beberapa prosedur.

Apabila ada pihak yang berminat, anda dan bakal pembeli perlu menandatangani surat tawaran yang akan menjaga kepentingan anda dan memastikan pembeli tidak melewatkan proses belian.

b. Kepakaran

Ejen hartanah akan semak harga semasa rumah anda dan mengenalpasti pesaing dalam pasaran.

Mereka tahu kaedah untuk menjual rumah anda termasuk dalam hal pemasaran kerana mempunyai modal iklan yang besar dan akses kepada portal hartanah yang eksklusif seperti iProperty dan PropertyGuru.

c. Fokus

Jika anda memilih menjual rumah anda sendiri, anda mungkin sukar nak tumpukan masa mengendalikan prosedur jualan dan pengiklanan.

Lebih-lebih lagi jika ada bekerja sepenuh masa, dan hari minggu pula dimanfaatkan untuk keluarga.

Ejen hartanah akan membantu anda menyelesaikan masalah ini kerana inilah kerja mereka.

d. Jaringan

Ejen hartanah kebiasaannya mempunyai hubungan profesional yang baik dengan pelbagai pihak, termasuk bank.

Ejen akan membantu pemilik hartanah untuk menyemak profil kewangan bakal pembeli dan menghantar permohonan pinjaman kepada bank bersesuaian, seterusnya mencadangkan peguam yang bersesuaian.

Anda perlu menyediakan dokumen penting seperti salinan geran, salinan SPA, sijil CF, resit bayaran cukai tanah dan taksiran terkini dan salinan kad pengenalan.

Sama ada anda memilih menjual sendiri rumah anda atau menggunakan khidmat ejen hartanah, adalah penting untuk anda memahami prosedur yang perlu diambil supaya hartanah anda dapat terjual dengan jayanya.

Team Saudagar Hartanah bersedia membantu anda untuk menjual hartanah anda dengan cara betul dan tepat.

Bukan itu sahaja, Team Saudagar Hartanah juga  membantu anda yang sedang mencari peluang untuk menjadi ejen hartanah dan membantu lebih ramai orang untuk memiliki dan menjual rumah mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published.