Nak beli rumah, tapi tidak tahu jenis hartanah yang ada? Mari ketahui 12 jenis hartanah yang ada di Malaysia.
Jika anda berminat untuk berurus niaga, samada ingin membeli hartanah baru atau menjual aset sedia ada, anda perlu kenali jenis hartanah tersebut.
Ia penting bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.
Di Malaysia, terdapat beberapa jenis hartanah kediaman. Ia termasuk hartanah biasa seperti banglo, rumah berkembar, rumah teres, pangsapuri dan kondominium.
Namun begitu, pelbagai jenis hartanah baru semakin menjadi trend sejak kebelakangan ini.
Ia menyebabkan kekeliruan bagi pembeli, terutama mereka yang baru mula menerokai dunia hartanah.
Mari ketahui lebih lanjut mengenai hartanah Malaysia.
12 Jenis Hartanah di Malaysia
1. Rumah Agam / Banglo / Villa
Hartanah jenis ini sering menjadi lambang kemewahan di Malaysia. Ia berada dalam kategori yang sama, namun memiliki sedikit perbezaan.
– Rumah Agam
Merupakan rumah yang lebih besar dari banglo, dengan tanah yang lebih besar dan luas.
– Banglo
Rumah yang hampir sama dengan rumah agam, tapi lebih kecil sedikit dari segi kaki persegi dan keluasan tanah.
– Villa
Tiada garis panduan yang tetap untuk menentukan rupa bentuk villa.
2. Rumah Berkembar / Berasingan (Semi-D)
Terdapat 2 jenis hartanah untuk kategori ini:
– Rumah Berkembar
Rumah jenis ini berkongsi satu dinding dengan rumah yang bersebelah.
Susun atur kedua buah rumah adalah seperti pantulan imej di cermin.
– Rumah Berasingan
Rumah jenis ini pula berdiri dengan sendiri dan tidak berkongsi dinding dengan rumah jiran.
3. Rumah Teres / Rumah Teres Link / Rumah Teres Superlink
Rumah kategori ini pada umumnya adalah sama.
Yang membezakan hanya pada saiz sahaja. Sudah pasti, harga juga berbeza bergantung pada keluasan rumah tersebut.
Rumah teres adalah yang terkecil di antara semua. Rumah teres link pula adalah lebih besar dari rumah teres.
Rumah teres superlink merupakan yang terbesar di antara hartanah ini.
4. Rumah Bandar (Townhouse)
Kebiasaannya, sebuah rumah bandar atau townhouse akan kelihatan seperti rumah biasa dari luar. Namun, ia merupakan dua unit rumah dalam satu bangunan rumah.
Selalunya, dua unit rumah ini disusun secara bertingkat atau bersebelahan. Kedua-dua unit rumah mempunyai pintu akses yang berbeza.
5. Pangsapuri / Flat
Hartanah jenis ini adalah rumah bertingkat yang telah lama wujud di Malaysia.
Ia menawarkan unit rumah bertaraf rendah dengan harga mampu milik.
– Pangsapuri
Pangsapuri adalah kediaman yang dikawal dan berada dalam kawasan pagar.
Kebiasaannya, ia lebih daripada lima tingkat dan dilengkapi dengan lif.
Ia juga disambungkan dengan ruang letak kereta dan mempunyai kemudahan asas seperti taman permainan.
– Flat
Flat pula adalah kediaman lima tingkat atau kurang, bertangga, tanpa pagar dan kawalan.
Tempat letak kereta terletak di bahagian luar dan tiada kemudahan lain.
6. Kondominium
Kondominium adalah kediaman bertingkat yang bertaraf tinggi. Bahkan, kondominium merupakan di antara hartanah yang paling digemari di Malaysia.
Hartanah jenis ini menawarkan pelbagai kemudahan. Ia juga dilengkapi dengan tahap keselamatan yang tinggi dan ruang letak kereta dalaman atau di bawah tanah.
Keluasan tapak pembangunan kondominium adalah tanah seluas 4,000 meter persegi dan ke atas.
7. Pangsapuri Perkhidmatan (Serviced Apartmen) / Kediaman Perkhidmatan (Serviced Residence) / Suite Perkhidmatan (Serviced Suites)
Ramai pembeli yang keliru dan menyamakan hartanah jenis ini dengan kondominium. Betul, ia hampir sama tetapi ada sedikit perbezaan.
Pangsapuri perkhidmatan, kediaman perkhidmatan dan suite perkhidmatan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seakan hotel.
Antaranya housekeeping, perkhidmatan bilik (room service) dan perkhidmatan bellboy.
8. Penthouse / Loft / Duplex
Hartanah jenis ini adalah kediaman mewah di bangunan tinggi.
– Penthouse
Merujuk pada unit paling tinggi di kediaman bertingkat dan selalunya mengambil seluruh tingkat atau separuh.
Umumnya, terdapat satu penthouse di setiap bangunan tinggi dan menjadikannya unit paling mahal.
– Loft / Duplex
Loft dan duplex adalah jenis rumah yang sama. Ia adalah unit dua tingkat dalam kediaman bertingkat tinggi.
9. SoHo / SoFo / SoVo / Vos
Kategori ini adalah hartanah yang baru diperkenalkan di pasaran. Mari lihat perbezaan antara jenis kediaman ini.
– Small Office Home Office (SoHo)
Boleh digunakan sebagai pejabat atau rumah.
– Small Office Flexible Office (SoFo)
Digunakan sebagai pejabat. Ia digelar pejabat fleksibel kerana terdapat unit yang mempunyai dinding yang boleh dipecahkan untuk membesarkan ruang.
– Small Office Versatile Office (SoVo) dan Versatile Office Suites (Vos)
Kediaman ini adalah jenis yang sama. Ia hanya boleh digunakan untuk tujuan komersial.
10. Rumah Kedai
Rumah kedai adalah rumah yang terletak di atas kedai. Ia boleh menjadi rumah kediaman mahupun digunakan untuk tujuan komersial.
11. Lot Kedai / Lot Runcit
Hartanah kategori ini memegang status komersial. Ia sama namun agak berbeza.
Lot kedai terletak di kawasan komersial, manakala lot runcit terletak dalam pusat membeli-belah.
12. Pembangunan Hartanah Bersepadu (Integrated)
Pembangunan bersepadu terdiri dari pelbagai komponen seperti kediaman, komersial, hiburan dan sebagainya.
Ia termasuk kediaman, pusat membeli belah, pejabat dan taman tema.
Saudagar Hartanah
Berminat dengan jual beli hartanah? Saudagar Hartanah sedia membantu anda.
Saudagar Hartanah merupakan satu team perunding hartanah yang bersedia untuk membantu pembeli dan pemilik hartanah di Malaysia.
Jika anda berminat untuk menceburi bidang ini dan menjadi seorang perunding hartanah, anda boleh menyertai workshop oleh perunding hartanah yang berpengalaman.