BERAKHIRNYA SATU PENCARIAN.
Sepanjang lebih kurang 8 tahun saya beramal sebagai peguam, dengan pengalaman saya yang sedikit ini, kerap juga saya mengendalikan transaksi jual beli hartanah yang melibatkan pasangan Penjual suami isteri yang telah bercerai.
Berdasarkan pengalaman, ada pasangan yang telah bercerai namun memberikan kerjasama yang baik, ada juga yang pada awalnya sukar untuk memberikan kerjasama, tetapi setelah diterangkan prosedur jual beli hartanah akhirnya bersetuju untuk meneruskan dengan penjualan hartanah.
Namun, pengalaman saya kali ini agak berbeza di mana Penjual adalah pasangan suami isteri di mana mereka telah bercerai dan saya hanya mampu mendapatkan maklumat dan tandatangan bekas suami sahaja. Apabila di tanya berkenaan dengan maklumat bekas isteri, bekas suami enggan memberi sebarang maklumat, malah memberitahu bahawa bekas isteri tidak ada kena mengena lagi dengan hartanah tersebut dan bekas suami juga tidak mengetahui keberadaan bekas isteri dan samaada bekas isteri masih hidup atau telah meninggal dunia.
Dengan sedikit skill detective conan yang ada, saya dan rakan kongsi mula mencari info berkenaan dengan bekas isteri, dan dengan berbekalkan dengan sedikit info yang kami dapat, kami nekad ke Kuantan untuk bertemu dengan bekas isteri.
Setibanya kami dirumah bekas isteri, kami dapati tiada orang dirumah, kebetulan jiran sebelah rumah ada diluar, kami cuba dapatkan nombor telefon bekas isteri. Alhamdullilah, akhirnya dapat juga nombor telefon bekas isteri.
Tut tut …tut tut, panggilan berjawab dan saya perkenalkan diri dan memberitahu hasrat untuk berjumpa dengan beliau. Malang sekali nasib kami, bekas isteri dalam perjalanan ke ibu kota. ?
Hampa. Kami pulang terus ke Kuala Lumpur namun bersyukur kerana sekurang-kurangnya kami dapat juga nombor telefon bekas isteri tersebut.
Dan setelah membuat tindakan susulan, kami membuat temujanji untuk bertemu dan alhamdulillah hari ini, dapat juga bertemu dengan bekas isteri. Pada awalnya, bekas isteri tidak bersetuju untuk menjual separuh bahagian hartanahnya kepada Pembeli, namun setelah diterangkan proses jual beli secara keseluruhan, baru lah bekas isteri bersetuju untuk menurunkan tandatangan dengan beberapa syarat. Selebihnya biarlah jadi sejarah.
Alhamdulillah syukur. Walaupun transaksi ini pada awalnya tidak selancar transaksi lain yang saya kendalikan, saya berdoa semoga transaksi jual beli hartanah ini akan berjalan lancar hingga selesai ke akhirnya. ALLAH juga yang MAHA MENGETAHUI.
Nota Peguam Aidil Ratna Edorra
#Saudagar Hartanah